Umum mengetahui calon Pilihanraya Kecil Hulu Selangor, pertandingan empat penjuru Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan bebas masing-masing diwakili oleh Zaid Ibrahim mewakili Pakatan Rakyat, P. Kamalanathan BN, VS Candran dan Johan Md. Diah. Melihat kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menegaskan pemilihan Zaid Ibrahim sebagai calon pilihan sebulat suara PAS, PKR dan DAP.Presiden PAS mahu semua pihak dalam PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon Pakatan. Tetapi yang membuatkan ramai kurang sedap hatinya adalah berhubung dengan tindakan firma Zaid ketika beliau dalam Umno dulu yang menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang Hudud. Walaupun tindakan Zaid ini disokong berdasarkan perlembagaan Malaysia yang mana mengatakan mana-mana undang-undang jenayah yang menyalahi atau tidak selari dengan Akta Undang-Undang Jenayah maka tertolak sendirinya undang-undang tesebut tetapi ia tetap tidak selari dengan moral dan nilai Islam sebagai Muslim.
Ketika dalam Umno dia dilantik Pak Lah sebagai senator dan mengangkatnya sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang). Ketika itulah baru namanya terlakar di arena politik nasional Malaysia dengan calitan-calitan kontroversi. Kerana tidak tahan, Zaid akhirnya meletak jawatan sebagai Menteri dan seterusnya dipecat dari UMNO berhubung dengan ISA.
Sekarang dia sudah bersama dengan Pakatan dan telah meninggalkan Umno. Baru-baru ini dia pergi menunaikan haji dan kita yakin dia telah berubah selepas bersama Pakatan. Cuma kita perlu berhati-hati dengan tidak terlalu memuji beliau kerana manusia boleh berubah bila-bila masa sahaja. Lebih-lebih lagi dia adalah calon PKR yang mempunyai rekod buruk sebelum ini akibat ramai sangat MP/Adun PKR membelot dan keluar parti.
Walau bagaimanapun, yang lama kita tolak ketepi dan Islam mengajar kita menjadi pemaaf. Atas dasar pemaaf inilah Islam zaman Rasulullah s.a.w. dulu berkembang hebat kerana ramai dikalangan pimpinan yang menentang Islam sebelumnya bersama dengan Islam. Sebagai contohnya Saidina Umar ketika zaman jahiliyyahnya yang membunuh anak perempuan dan pernah hendak membunuh rasulullah s.a.w. Ketika dalam perjalanan hendak bunuh rasulullah, beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu dan akhirnya beliau memeluk Islam serta berjanjji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.
Mungkin inilah pendirian pimpinan PAS sebagaimana ditegaskan Presiden PAS supaya ahli memberi sokongan penuh terhadap Zaid. Prinsip ini telah mengajar kita erti wala’ kepada pimpinan.
Dari sisi baiknya, Zaid yang mana ketika para pemimpin Umno lain berebut-rebut nak jadi pemimpin, dia meletakkan jawatan sebagai menteri kerana menentang salah guna ISA yang menahan tiga orang termasuk seorang wartawan di bawah ISA.
Presiden PAS memberitahu, selepas Zaid meletakkan jawatannya dan keluar dari Umno, beliau juga ada berbincang dengan para pemimpin PAS untuk menyertai parti Islam itu atau menyertai PKR. Selepas berbincang termasuk dengan pemimpin PKR, mereka bersetuju Zaid perlu menyertai PKR.
Saya berpendapat pemilihan Zaid sebagai calon dibuat mungkin atas faktor kekuatan dia yang telah diuji meninggalkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana membantah kerajaan salahguna kuasa ISA.
Zaid dilihat lebih mementingkan prinsip kebenaran berbanding kepentingan diri dan kedudukan politik. Soal-soal sifat dan kelakuannya semasa UMNO dulu mungkin boleh diabaikan kerana mungkin Zaid dalam proses menyuci dan menyesuaikan diri. Kita mengharapkan dia betul-betul berubah. Moga perubahannya daripada tidak baik kepada baik seperti Saidina Umar Al-Khattab.
Ya Allah, jadikan Zaid seperti Umar..



0 comments:
Post a Comment